Majlis Bantuan Pendidikan 2025 & Penyerahan Wakalah Koswip 2024
KOSWIP, 11 Disember 2025 - KOSWIP hari ini telah melaksanakan Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan & Dermasiswa Anak Cemerlang KOSWIP 2025 yang turut diserikan dengan Majlis Penyerahan Wakalah 2024 kepada asnaf dalam kalangan anggota. Majlis di Dewan Nusantara, INSPEN ini dihadiri oleh En Mohd Nawawi bin mat Idris, selaku naib pengerusi koswip, en azlan bin alias setiausaha KOSWIP , En Mohd Noh bin Chik@Chick selaku bendahari koswip, barisan anggota lembaga KOSWIP, Jawatankuasa Audit Dalaman KOSWIP, pengurusan tertinggi KOSWIP, perwakilan kawasan, ibu bapa serta para penerima Bantuan Pendidikan Kategori Cemerlang dan turut meraikan asnaf dikawasan berhampiran.
Tahun ini merupakan tahun kedua KOSWIP menerima wakalah zakat daripada PPZ-MAIWP — satu pengiktirafan besar terhadap ketelusan dan kecekapan pengurusan kewangan koperasi. Kepercayaan ini mengukuhkan lagi peranan KOSWIP sebagai institusi yang bukan sahaja memacu ekonomi anggota tetapi turut melaksanakan tanggungjawab kebajikan secara berterusan.
BANTUAN PENDIDIKAN 2025
Sebanyak RM236,280 diperuntukkan bagi Bantuan Pendidikan tahun ini, memberi manfaat kepada 2,103 anak anggota. Bayaran akan dikreditkan kepada akaun anggota / anak anggota pada 12 Disember 2025 (Jumaat).
Bagi kategori Anak Cemerlang, seramai 41 penerima menerima Dermasiswa Cemerlang RM500 setiap seorang sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik mereka.
ZAKAT & WAKALAH 2024
KOSWIP turut menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM481,950 bagi tahun 2024 kepada PPZ-MAIWP. Daripada jumlah itu, PPZ-MAIWP meluluskan wakalah berjumlah RM180,731 untuk diagihkan kepada anggota dan komuniti melalui tiga komponen utama:
1. 50 % -Bantuan kawasan kepada anggota yang memerlukan
2. 30%-Program CSR pendidikan, kebajikan & pembangunan modal insan
3. 20%- Bantuan kepada asnaf dan komuniti setempat yang layak
Pada majlis hari ini, En. Mohd Yazir bin Ibrahim, Pegawai Perhubungan Zakat PPZ-MAIWP, menyampaikan ucapan ringkas sebelum menyerahkan mock cheque berjumlah RM180,731 kepada pihak KOSWIP sebagai simbolik penerimaan wakalah zakat tahun 2024.
Selain itu, taklimat ringkas mengenai proses agihan wakalah turut disampaikan bagi meningkatkan kefahaman anggota mengenai objektif serta aliran penyaluran bantuan zakat.
Majlis diakhiri dengan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini — khususnya perwakilan kawasan, urus setia, para ibu bapa serta seluruh anggota KOSWIP yang terus menyokong agenda pembangunan dan kebajikan koperasi.
KOSWIP komited untuk terus memperkukuhkan kebajikan anggota, memartabatkan pendidikan dan memperluaskan manfaat sosial demi kesejahteraan anggota.


